Cita Kita

Di setiap hela nafasku,
Ku kan selalu terkenangkan dirimu,
Di setiap detak jantungku,
Ku kan terus titip doa,
Moga nafasmu kan terus berhembus,
Seiring hembusnya nafasku,
Moga semangatmu kan terus hidup,
Meski rasa itu telah pun mati.

Mataku dan matamu mungkin kan bertemu di suatu saat nanti,
Namun tidak ku tahu adakah hati kita kan bertaut kembali,
Kerana ku tahu,
Ada mata yang kan terus berkaca-kaca,
Ada luka yang kan terus berdarah,
Mengenangkan pahitnya memori itu.

Peristiwa semalam tinggal sejarah,
Kenangan silam hanya tinggal kenangan,
Namun hari ini dan esok tetap ada untuk kita terus jalani,
Usahlah hidup di dalam kenangan,
Kerana ia kan merenggut segala pengharapan.

Harapan itu ada,
Harapan kan terus ada,
Selagi hayat dikandung badan,
Selagi ia disandarkan hanya pada-Nya.

Teruskan langkahmu,
Teruskan baktimu,
Kepada agama, bangsa dan negara,
Agar hidupmu tidak sia-sia,
Agar hidupmu ada ertinya,
Kerana di akhir nanti,
Bukan dunia yang menjadi tujuan kita,
Tetapi bahagia di akhirat itulah yang menjadi cita hakiki.

Ditulis pada 5:32 a.m. 22 Julai 2018.
Dikemaskini pada 18:20 p.m. 12 Julai 2019.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Ummi

Tanggal 8 Ogos 2011, bersamaan 8 Ramadhan 1432 H, pada pagi itu aku melihat Ummi mengemas halaman rumah. Terdetik dalam hati, "Aktifnya Ummi beberapa hari ni..." Petang semalamnya kami masak Spaghetti, Pizza, juga lauk-pauk orang-orang Melayu. Boleh dikatakan lauk untuk berbuka puasa paling banyak pada malam tu lah kalau nak banding dengan malam-malam sebelumnya. Beberapa hari yang lepas waktu pulang dari meeting Global Outreach Program (GOP), aku terkejut melihat Ummi buat Pizza. Timbul sedikit kerisauan di hati namun aku diamkan saja kerana khuatir Ummi kurang senang dengan omonganku. Biarlah, asalkan Ummi bahagia.

Tengah hari itu, aku bersama Ummi dan Baba pergi ke Pusat Kesihatan UTM. Ummi menemani aku yang kurang sihat, Baba pula mencuci luka akibat tergelincir, jatuh ke dalam longkang dan kakinya bergeseran dengan dinding longkang tiga minggu yang lalu. Semasa mendaftar di kaunter pendaftaran, Ummi menyapa seorang anak kecil yang sedang menangis. Dipujuknya anak itu namun tetap tidak berhenti menangis. Tidak semena-mena, Ummi rebah betul-betul di depanku. Ya Allah! Ummi pengsan!

Aku terus mengejutkan Ummi, membangunkannya, dibantu oleh seorang mahasiswi UTM bagi memapah Ummi bangun. Terkejut! Darah? Banyaknya! Macam mana boleh berdarah?! Alhamdulillah Ummi sedar dan menyahut panggilanku. Aku sibuk mendaftarkan nama Ummi, Ummi pula dibawa terus berjumpa doktor. Selesai mendaftar, aku berlari mencari Ummi. Tiba di bilik di mana Ummi berada, aku terkejut. Ia juga adalah bilik yang sama Baba mencuci lukanya. Babaku terdiam. Tergamam. Dia kemudiannya beralih dari tempatnya dan membantu Ummi duduk di atas katil. Doktor mencuci darah di bibir Ummi lalu Ummi dihantar ke bilik lain untuk pemeriksaan susulan.

Aku masih tetap di bilik itu. Kenapa tiba-tiba pandanganku kabur? Gelap. Kepalaku pusing. Tubuhku terasa kebas seluruhnya. Ya Allah, ternyata aku ini lemah, berilah aku kekuatan. Aku tak mahu pengsan. Alhamdulillah, sempat berpaut pada katil. Aku gagahkan diri untuk duduk di atas katil. Mujurlah, beberapa minit kemudian aku boleh bangun seperti sediakala. Begini rupanya kesan bila berlaku sesuatu yang mengejutkan. Ingatkan orang yang berlakon pengsan dalam sinetron tu over-acting semata-mata.

Selesai membuat pemeriksaan, doktor memaklumkan kepadaku, Ummi perlu dirawat di hospital dengan segera kerana dikhuatiri ada kesan buruk lain pada Ummi. Terus, aku bersama seorang doktor menghantar Ummi ke Hospital Sultanah Aminah dengan menaiki ambulans. Dalam perjalanan, aku melihat wajah Ummi sekejap-sekejap, tidak mampu lagi ku menahan air mata daripada jatuh berlinangan. Terusku palingkan muka. Ya Allah, bagaimana sekiranya Allah benar-benar mengambil nyawa Ummi ketika pengsan tadi? Di saat itu, aku teringat ketika Ummi menjagaku di hospital semasa aku diserang Athsma sewaktu kecil dahulu. Beliau tetap setia menemaniku, menjagaku, menggembirakan aku. Ya Allah. Terima kasih. Terima kasih kerana telah menyelamatkan Ummi. Terima kasih kerana memberi kami peluang untuk bersama dengan Ummi lagi. Terima kasih kerana memahami aku yang belum lagi bersedia untuk menghadapi ujian yang amat aku takuti itu.

Hari ini hari ketiga Ummi berada di hospital. Harap-harap Ummi dibenarkan pulang ke rumah esok atau lusa dan dapat menjalani kehidupan macam biasa seperti sebelumnya.

Amiin.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh itu) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman; 31: 14)

Artikel ini ditulis pada 10 Ogos 2011.
Di-post semula di blog ini sempena hari lahir Ummi pada 28 Julai, 2 hari yang lalu.

Selamat Hari Lahir Ummi. Semoga dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang baik serta diberi kekuatan untuk beramal.

Terima kasih atas segala kesabaran dan pengorbanan yang diberi sepanjang mendidik dan membesarkan kami.

Moga Allah hadiahkan Syurga buatmu!



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Dunia Penulisanku

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Sahabat-sahabat pengunjung yang saya kasihi.
Moga sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya

Sudah lama saya meninggalkan dunia blog. Blog ini ialah blog keempat saya, tidak termasuk blog-blog waktu zaman sekolah menengah dulu. Blog saya yang paling lama, ALJIHADU SABILUNA, sudah saya delete kerana kebanyakan artikel yang saya tulis, khususnya yang saya kaitkan antara ayat al-Quran dan Hadith dengan kehidupan seharian, berkemungkinan tidak bertepatan dengan tafsiran sebenar mahu pun konteks yang dinyatakan di dalam ayat tersebut. Almaklumlah, darah muda, pantas sahaja mahu dikongsi apa yang diperolehi dan dibaca tanpa begitu meneliti apa yang disebarkan. Semangat saja lebih. 😂

Ketika melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, saya buat blog baru yang berfungsi hanya untuk beberapa ketika saja, Dokter Cinta dan Samudera Kehidupan, ada lagi satu tapi sudah di-delete.




Sejak ramai orang guna Facebook, blog pun ditinggalkan. Tapi ada saja saya menulis di platform lain seperti Goodreads. Itu pun tidak begitu aktif. Dan sekarang ini penulisan saya ada di merata-rata tempat.

Kini saya mahu kembali menulis di blog. Memandangkan ia platform yang paling sesuai dan sistematik untuk menulis dan menyampaikan buah fikiran, meskipun sudah tidak begitu popular.

Di usia yang lebih dewasa dan matang ini, tiada kerisauan lagi untuk saya teruskan menulis. Kalau dulu, menulis ikut semangat, mengikut rasa. Sekarang ini menulis dengan panduan wahyu, ilmu dan fakta yang dipastikan kesahihannya terlebih dahulu.

Moga penulisan di blog ini memberikan manfaat kepada sahabat-sahabat yang mengunjung.

Insya-Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS